Jangan mencari
keadilan yang mutlak di dunia ini. Terimalah hidup seadanya. Jadilah
diri sendiri. Kita ubah yang mampu diubah, yang tidak mampu serahkan
kepada Allah. Jika bahagia yang dicari, tetapi derita yang
diberi… terimalah. Bahagialah dengan derita itu.
Manusia akan tersiksa
oleh jangkaan dan harapannya. Allah ciptakan putaran hidup ini seumpama
kitaran cuaca dan musim. Ada yang menikmati empat musim seperti Eropah.
Ada yang kontang sepanjang masa umpama Sahara.
Ada yang dingin memanjang seperti di Antartika. Kita hamba… setelah
berusaha sehabis daya, pasrah dan menyerahlah. Carilah R&R dalam
kembara hidup ini, di sanalah tempat kita berehat seketika… sebelum
berehat selama-lamanya!
Jika ditakdirkan tidak
kita temui sesuatu yang dicari di dunia ini, terimalah hakikat ia
memang tidak ada. Di akhirat sana tempat ‘ada’ dan sempurna segala. Jika
‘langit’ hendak runtuh, masakan jari yang kecil
ini mampu menahannya. Dalam setiap yang kita miliki, pasti ada jemu dan
letihnya. Dalam setiap yang kita tidak miliki, pasti ada kesal dan
sayunya. Jangan terlalu dalam segalanya. Jangan terlalu cinta, jangan
terlalu benci. Jangan terlalu suka, jangan terlalu
duka. Sederhana itulah yang selalu menyelamaktkan ‘hati’ kita.
Tidak ada keadilan yang
mutlak di dunia ini. Semakin kita terima hakikat ini, hidup kita akan
menjadi semakin tenang. Jika tidak, kita akan sentiasa rasa arah,
kecewa, dipersenda dan ditipu oleh manusia lain dan
keadaan. Sebaliknya, apabila kita mula menerima hakikat dunia memang
tidak adil, maka hidup kita kan menjadi lebih tenang dan harmoni.
Mengapa di dunia ini
tidak ada kedailan yang mutlak? Yang baik, tidak semestinya mendapat
ganjaran dan balasan yang baik. Manakala yang jahat, acap kali terlepas
dan bebas? Ya, inilah kaedah Allah menguji manusia,
agar terserlah siapa yang benar-benar ikhlas berbuat kepadaNya dan
siapa pula yang benar-benar meninggalkan kejahatan kerana-Nya jua.
Inilah ujian iman.
Menerusi pengajian
tauhid, yakni dalam mengenal sifat-sifat Allah, memang kita telah sedia
maklum bahawa Allah swt akan memberi dan menunjukkan sifat keadilan-Nya
secara mutlak dan tuntas di akhirat nanti. Manakala,
di dunia ini Allah tidak menunjukkan sifat keadilanNya secara sepenuh
dan menyeluruh sebagai ujian kepada orang-orang yang beriman kepadaNya.
Lihat bagaimana nabi
Zakaria AS, Nabi Yahya AS dan beberapa nabi yang lain telah dibunuh oleh
musuh-musuh kebenaran. Sekiranya kita sebagai suami, isteri, ibu-bapa,
anak-anak, pemimpin, pengikut… menerima layanan
atau balasan yang tidak adil, biasalah. Inilah hakikat dan lumrah hidup
yang mesti ditempuh. Jangan mencari yang ‘serba kena’ kerana hidup
dipenuhi oleh resam yang ‘serba tidak kena’.
Sekiranya kita berbuat
baik kerana mengharapkan ganjaran, pembalasan dan ucapan terima kasih
daripada manusia, tentu kita akan keewa kerana umumnya manusia memang
tidak pandai berterima kasih apalagi untuk membalas
budi. Memang, buat baik dibalas baik, tetapi bukan seua kebaikan
dibalas di sini (dunia), ada yang Allah simpan di sana (akhirat).
Justeru, apabila Allah
menyuruh manusia melakuan kebaikan atau meninggalkan kejahatan, Allah
akan menyeru kepada manusia yang beriman dengan lafaz “Ya ayyuhal lazi
na amanu – wahai orang yang beriman.” Begitu juga
apabila Rasulullah saw menyeru untuk umatnya melakukan kebaikan,
baginda sering memulakanya dengan berkata, “barangsiapa yang beriman
kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah…”
Banyak hikmahnya mengapa
Allah dan RasulNya berbuat demikian, salah satunya ialah untuk
menunjukkan bahawa mereka yang mahu dan mampu melakukan kebaikan dan
meninggalkan kejahatan dengan ikhlas, sabar dan istqamah
hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yakni,
mereka yang yakin bahawa Allah Maha melihat akan perbuatan itu dan
membalasnya dengan ganjaran atau seksa yang setimpal.
Allah memujuk, Nabi
Muhammad dan orang-orang beriman dengan firmanNya: “Dan janganlah engkau
(wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh
orang-orang yang zalim sesungguhnya Ia hanya melambatkan
balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku
pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang
berlaku).”
Impak daripada itu,
manusia yang beriman akan menghadapi hidup ini dengan lebih tenang.
Tidak banyak merungut, merengus dan marah-marah. Jika madu dibalas tuba,
mereka mampu sabar dan redha. Apabila mendapat ‘limau
masam’, mereka akan segera membuat ‘air limau’. Makna, sekiranya apa
yang mereka terima sebagai balasan, tidak seperti yang diharapkan dan
dijangkakan, mereka tidak ‘memberontak’, sebaliknya mereka mengubah
hati, fikiran dan perasaan mereka untuk menerima
apa yang telah berlaku itu dengan baik.
Apabila inginkan
kejayaan, tetapi sebaliknya kegagalan yang berlaku… mereka akan berkata,
“Tidak mengapa, kegagalan adalah yuran kepada kejayaan, kegagalan
adalah ‘kejayaan’ yang ditangguhkan. Orang berjaya lebih
banyak merasai kegagalan daripada orang yang gagal.”
Mereka tidak mengutuk
orang lain, keadaan, diri mereka sendiri apalagi mempersalahan Tuhan.
Mereka tidak akan menyesal dan kesal terhadap apa yang berlaku
sebaliknya mencari tapak dan semangat baru untuk berusaha
dengan lebih baik. Lalu dalam kamus orang berjaya sering tertera
pengukuhan kata-kata ini: Kegagalan adalah peluang untuk memulakan semua
dengan lebih baik!”
Oang yang telah menerima
hakikat dunia ini tidak adil, tidak akan bemusuh dengan dirinya sendiri.
Dia tidak mendera dirinya dengan kejam. Mengapa aku bodoh sangat?
Mengapa aku lurus bendul? Mengapa aku boleh tertipu?
Ini bukan langkah muhasabah yang membangunkan jiwa yang proaktif,
tetapi satu ‘self sabotaging habit’ yang menyebabkan dirinya menjadi
pasif, pesimis atau murung. Kemudian keburukan dari dalam diri itu akan
meletus keluar menjadikan dirinya sebagai ‘toxic
people’ yang bersifat aggresif, bersangka buruk dan marah-marah kepada
orang lain.
Dalam surah Al Fatehah,
Allah menegaskan bahawa Dialah Raja pada Hari Akhirat. Kalimat ini kita
ulang-ulang baca pada setiap hari tidak kurang 17 kali. Semuga makna
atau kehendak daripada kalimat ini meresap dalam
minda sedar dan separa sedar kita, bahawa Allah akan menunjukkan
kebesaran sifat Malik-Nya di akhirat, yang pada waktu itu tidak akan ada
siapa yang berani mengangkat muka atau berkata-kata.
Di dunia ini, penjahat
atau pelaku kemungkaran masih boleh mendabik dada dan meninggikan suara,
kerana kuasa yang sementara. Dengan kuasa itu mereka menipu, menindas
dan menzalimi dengan pelbagai taktik dan cara.
Namun di akhirat nanti, mereka akan kaku, kelu dan membisu apabila
Allah menunjukkan kebesaran dan keadilanNya. Di sana nanti barulah
kebaikan akan mendapat ganjaran… bukan setimpal tetapi digandakan. Di
sana jualah nanti kejahatan akan mendapat balasan… yang
pedih, perit dan berganda.
Allah yang Maha Adil
tidak mencipta dunia ini dengan serba adil untuk menguji manusia sejauh
mana iman mereka kepada sifat keadilanNya! Agar dengan itu orang yang
beriman rela ‘disusahkan’ kerana Allah dalam usahanya
melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Agar dengan itu, orang
beriman akan berkata pada hatinya, “ wahai Tuhan, aku rela menerima
kesusahan yang sementara dan sedikit di dunia yang serba tidak adil ini
demi mendapat kesenangan yang abadi dan lebih
baik di akhirat nanti!”
Sampai ke takah ini,
sekiranya hati masih bertanya, “mengapa dunia ini tidak adil?” Jawabnya,
“kerana Allah yang Maha Adil ingin menunjukkan keadilanNya di akhirat.”
Ya, keyakinan kepada Hari akhirat sangat penting
semasa hidup di dunia. Meletakkan sesuatu itu pada tempatnya, itulah
erti keadilan. Hati orang beriman ialah hati yang adil. Dalam hati itu
terpahat satu hakikat: Dunia tempat penat, di akhirat tempat berehat!
Ya, hidup selepas mati
adalah tempat rehat daripada kepenatan daripada ujian hidup sebelum
mati. Justeru, Rasulullah saw sendiri berdoa: ” Ya Allah, jadikanlah
kematian tempat istirehat daripada segala keburukan
dan kejahatan…”
Dari blog GENTA RASA – Ustaz Pahrol Mohd Juoi